Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli-ahli Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) bahawa usaha untuk merombak pengurusan fiskal negara, tidak boleh mendatangkan kesan mendadak kepada ekonomi Malaysia dan rakyat.
Ini kerana Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata ekonomi negara dan rakyat masih lagi bergelumang dalam masalah kos sara hidup tinggi.
“Memang benar reformasi fiskal perlu dibuat untuk mengembangkan hasil kerajaan dan mengurangkan ketirisan daripada perbelanjaan subsidi menyeluruh, agar kerajaan mempunyai lebih banyak dana untuk perbelanjaan pembinaan prasarana dan bantuan bersasar.
“Namun, saya telah menitik berat tentang menjaga rakyat kurang bernasib baik semasa kerajaan melakukan konsolidasi fiskal berperingkat yang mungkin memedihkan pada mulanya,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Beliau semalam mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa FPC di Putrajaya.
Anwar berkata jawatankuasa juga sebulat suara bersetuju mengenai kepentingan dan kesegeraan untuk membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada Oktober.
“FRA yang digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia, dijangka akan dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.
“Adalah menjadi mandat Kerajaan Perpaduan untuk senantiasa melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat.
“Malaysia akan secepat mungkin kembali gah sebagai pelopor ekonomi serantau dengan rakyatnya mempunyai kualiti hidup bermakna, seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.















































Discussion about this post