TIADA tempoh ‘bulan madu’ diberikan kepada anggota Kabinet yang baharu dilantik atau bertukar portfolio dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu ditegaskan Anwar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung semalam.
Menurut Fahmi, sebahagian besar menteri sedia maklum tentang urusan pentadbiran kementerian masing-masing, manakala mereka yang baharu menyertai Kabinet memerlukan sedikit masa untuk memahami selok-belok pengurusan.
“Saya percaya Perdana Menteri akan memantau perkara ini melalui Jemaah Menteri bagi memastikan sebarang isu pentadbiran dapat ditangani dengan segera,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Fahmi berkata satu pemukiman Jemaah Menteri dijangka diadakan pada Januari depan bagi memperjelas hala tuju, objektif dan matlamat kerajaan, selain menegaskan perkara utama yang perlu difahami semua anggota Kabinet sebagai persediaan menghadapi tahun 2026.
Beliau berkata Perdana Menteri mengalu-alukan pelantikan semua menteri baharu, namun mengingatkan mereka supaya meneliti serta memahami secara mendalam aspek pengurusan kementerian dan dasar yang sedang dirangka sebelum membuat sebarang keputusan.
Menurutnya, Anwar turut menasihatkan menteri baharu agar tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa, sebaliknya memberi ruang kepada pegawai dan penjawat awam mengemukakan pandangan serta input berkaitan.















































Discussion about this post