ROMBAKAN Kabinet yang dilaksanakan semalam mencerminkan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuka ruang kepimpinan yang lebih luas kepada generasi muda, seiring kedudukan Kerajaan Perpaduan yang kini lebih kukuh dan stabil.
Menurut beliau, langkah berkenaan selari dengan keperluan untuk menonjolkan agenda reformasi kerajaan, memandangkan fasa awal pentadbiran yang menuntut keutamaan kepada penyatuan dan pengukuhan gabungan telah berjaya dilaksanakan.
Anwar berkata, selepas asas Kerajaan Perpaduan diperkemaskan, sudah tiba masanya peluang diberikan kepada pasukan yang lebih muda untuk memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negara.
“Jika dilihat secara keseluruhan, penempatan individu baharu ini kebanyakannya terdiri daripada golongan muda. Kita ada Taufiq, Akmal, Mustapha, yang jelas daripada kelompok lebih muda. Arthur juga relatifnya lebih muda.
“Mereka ini generasi kedua dan ketiga. Kebanyakan mereka dalam lingkungan usia 40-an, Taufiq pula berusia 29 tahun, manakala yang lain lewat 30-an. Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita tonjolkan perkara ini.
“Mengapa? Pada peringkat awal dahulu, saya tidak dapat berbuat demikian kerana kita perlu memastikan gabungan ini diperkukuh dan disatukan terlebih dahulu.
“Tetapi kini saya berpendapat kita sudah cukup kuat. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya.
Mengulas pengguguran dua menteri, iaitu Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Anwar menegaskan keputusan tersebut tidak bermaksud kedua-duanya gagal melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Sebaliknya, jelas beliau, kedua-dua pemimpin berkenaan telah menyediakan asas serta laluan yang baik untuk diteruskan dalam agenda reformasi kerajaan.
“Dr Na’im telah melakukan yang terbaik. Beliau bekerja keras, mencuba sedaya upaya dan telah menetapkan agendanya untuk institusi agama. Itu tidak dinafikan.
“Namun saya fikir sudah tiba masanya beliau berkhidmat dalam peranan lain dan memberi ruang kepada pasukan yang lebih muda supaya mereka boleh bertindak dengan lebih tegas dan lebih inklusif.
“Begitu juga dengan Zaliha. Zaliha adalah tulang belakang parti sejak awal penubuhan. Sebagai Menteri Wilayah, beliau bekerja dengan sangat keras, termasuk memecahkan kartel dalam kalangan peniaga dan peniaga kecil.
“Itu memerlukan keberanian besar dan beliau melakukannya dengan baik. Namun saya percaya beliau juga memahami bahawa saya mempunyai keterbatasan,” katanya.
Menurut Anwar, khidmat kedua-dua bekas menteri itu tetap diperlukan dan akan terus dimanfaatkan dalam tugasan lain dalam kerajaan.
Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan seramai 28 menteri dan timbalan menteri terlibat, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Perdana Menteri berkata, penyesuaian berkenaan perlu dibuat susulan beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri, selain memberi tumpuan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan permasalahan rakyat.














































Discussion about this post