FIFA mengumumkan negara juara Piala Dunia 2026 akan menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$50 juta (RM204.6 juta), di tengah-tengah pertikaian berterusan berhubung harga tiket kejohanan itu.
Pengesahan itu dibuat selepas Majlis FIFA meluluskan peruntukan keseluruhan AS$727 juta (RM3 bilion) untuk diagihkan kepada pasukan bertanding, peningkatan kira-kira 50 peratus berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.
Menurut FIFA, setiap negara yang layak ke kejohanan itu akan menerima AS$1.5 juta (RM6.13 juta) bagi menampung kos persediaan, selain sekurang-kurangnya AS$9 juta (RM37 juta) sebagai ganjaran beraksi di peringkat kumpulan.
Pengumuman berkenaan dibuat ketika FIFA berdepan kritikan global susulan pelarasan harga tiket yang disifatkan tidak munasabah dan didakwa hanya menguntungkan segelintir penyokong.
Sebelum ini, FIFA memaklumkan tiket berharga AS$60 (RM245) akan ditawarkan menerusi kuota khas yang dijual oleh persatuan kebangsaan kepada penyokong paling setia, namun hanya sekitar 10 peratus daripada kuota itu tersedia pada harga tersebut.
Sebagai contoh, bagi perlawanan antara England dan Croatia, hanya kira-kira 400 daripada lebih 4,000 penyokong layak memperoleh tiket pada harga rendah itu, manakala selebihnya perlu membayar harga bermula AS$230 (RM941).
Harga tiket perlawanan akhir pula dijangka mencecah AS$4,185 (RM17,121), sekali gus mencetuskan dakwaan bahawa langkah itu sekadar strategi perhubungan awam FIFA bagi meredakan kritikan.













































Discussion about this post