SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggerakkan inisiatif NADI on Wheels (NOW) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Setongkol bagi menyokong keperluan digital dan kebajikan komuniti terjejas akibat banjir di Pahang.
MCMC dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, antara perkhidmatan disediakan termasuk kemudahan internet percuma, saringan kesihatan asas serta pelaksanaan Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.
Menurutnya, pengoperasian NOW dilaksanakan susulan peningkatan kawasan terjejas banjir serta pengaktifan beberapa PPS di negeri itu, dengan perkhidmatan berkenaan mula digerakkan ke PPS Bukit Setongkol sejak 19 Disember lalu.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan mangsa banjir kekal berhubung, memperoleh maklumat tepat dan dapat meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana,” kata kenyataan itu.
NADI on Wheels dilengkapi kemudahan satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor serta Wi-Fi percuma, sekali gus berfungsi sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa akses teknologi terus ke lapangan.
MCMC berkata, inisiatif berkenaan merupakan platform sokongan kepada komuniti, khususnya golongan rentan, pedalaman dan kawasan terjejas bencana, bagi memastikan kesinambungan akses digital dan kesejahteraan komuniti.
Tambahnya, MCMC akan terus memantau situasi semasa dan bersedia menggerakkan perkhidmatan NADI on Wheels ke PPS lain yang dikenal pasti dari semasa ke semasa















































Discussion about this post