UMNO perlu kembali tampil sebagai pemacu utama agenda penyatuan umat Islam, namun ia mesti dilakukan berasaskan keikhlasan dan sokongan rakyat bukan sekadar kepentingan politik, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti, Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Menurut Rosnah, langkah itu penting bagi memperkukuh hubungan sesama umat Islam serta menjamin kestabilan negara dalam keadaan politik yang terus berubah.
Beliau turut menyifatkan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebagai memiliki ‘jiwa besar’ kerana meneruskan perjuangan parti meskipun berdepan siri pengkhianatan dan tekanan politik, termasuk daripada bekas rakan parti sendiri.
“Walaupun dilabel dan ditohmah, Presiden UMNO tetap mengangkat ukhuwah Islam sebagai landasan utama,” katanya seperti dipetik UMNO Online.
Rosnah berhujah bahawa UMNO kekal sebagai tonggak perpaduan negara dan memainkan peranan dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, selain menegaskan komitmen parti terhadap Islam sebagai agama Persekutuan serta institusi Raja-Raja Melayu.
Ketua Wanita UMNO Papar itu juga menegaskan bahawa perjuangan agama, bangsa dan negara bukan naratif baharu, tetapi terkandung dalam DNA UMNO sejak penubuhannya.
“UMNO akan terus berpegang pada prinsip Perlembagaan dan perpaduan nasional untuk mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu,” katanya.
Rosnah berkata keteguhan prinsip itu bakal menjadi asas kepada usaha UMNO untuk bangkit kembali sebagai parti yang diyakini dalam pentadbiran serta hala tuju negara.


















































Discussion about this post