ROMPIN — Seramai 21 penduduk suku Orang Asli Jakun dari Kampung Jemeri, Rompin, ditahan polis tengah hari tadi atas dakwaan menceroboh tanah milik pihak lain.
Wakil penduduk, Azman Idom, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita berusia antara 26 hingga 61 tahun.
Menurutnya kepada Malaysiakini, penahanan berlaku selepas penduduk merobohkan palang yang dibina di laluan masuk ke kawasan yang didakwa sebagai tanah wilayah adat kampung berkenaan.
“Sekatan itu dibina oleh pihak syarikat yang mendakwa memiliki geran tanah kawasan ini. Penduduk pula mendakwa kawasan tersebut telah didiami dan diusahakan secara turun-temurun,” katanya.
Azman berkata kawasan terbabit melibatkan ladang kelapa sawit, getah, kebun pusaka serta rumah penduduk, namun nama syarikat yang mendakwa memiliki geran tanah masih belum dikenal pasti, lapor Malaysiakini.
Beliau turut memaklumkan status penahanan penduduk terbabit masih belum diketahui setakat ini.
Sementara itu, Persatuan Suku Jakun Pahang mengecam penahanan tersebut dan menuntut pembebasan segera 21 penduduk kampung berkenaan.
“Mereka ditahan kerana mempertahankan tanah adat kami. Kami menuntut pembebasan segera serta pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Jakun,” menurut persatuan itu dalam kenyataan pada Isnin.
















































Discussion about this post