PENGGUNAAN slogan dan penjenamaan politik dalam landskap kepimpinan negara dilihat berkembang daripada sekadar simbol semangat nasional kepada alat komunikasi strategik yang membentuk naratif pentadbiran kerajaan, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, pada peringkat awal kemerdekaan, slogan politik lebih bersifat umum dan berteraskan agenda pembangunan negara. Namun, pendekatan tersebut berubah secara ketara ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila penjenamaan politik digunakan secara lebih tersusun dan berstrategi.
“Pelbagai slogan seperti Bersih, Cekap, Amanah, Malaysia Boleh, Wawasan 2020 serta Kepimpinan Melalui Teladan bukan sahaja menjadi retorik, malah membentuk naratif pembangunan dan etika pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pendekatan itu kemudiannya diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui konsep Islam Hadhari yang menekankan nilai keseimbangan serta tadbir urus beretika.
Tambahnya, era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pula memperlihatkan penggunaan penjenamaan politik secara lebih menyeluruh menerusi gagasan 1Malaysia, yang disokong oleh pelbagai agenda transformasi termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan TN50.
Dalam tempoh kedua pentadbiran Tun Dr Mahathir, Salleh berkata naratif Malaysia Baharu diperkenalkan dengan penekanan kepada reformasi institusi, walaupun tanpa slogan dominan yang jelas.
“Seterusnya, pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa pendekatan Prihatin serta slogan sosial Kita Jaga Kita dalam menghadapi krisis, manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyentuh pendekatan semasa di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetengahkan konsep Malaysia MADANI sebagai kerangka pentadbiran negara.
Mengulas lanjut, Salleh menegaskan bahawa walaupun penjenamaan politik berperanan membentuk persepsi awal rakyat terhadap sesuatu kepimpinan, penilaian sebenar tetap bergantung kepada pengalaman harian rakyat.
“Isu seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan integriti pentadbiran menjadi ukuran utama. Tanpa hasil yang benar-benar dirasai, slogan akhirnya akan kehilangan makna,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyimpulkan bahawa realiti kehidupan rakyat kekal sebagai faktor penentu utama dalam membentuk sokongan politik terhadap mana-mana kerajaan.
















































Discussion about this post