KERAJAAN Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan meneruskan rundingan berhubung pemberian khas pada 19 Disember ini, sebagai usaha berterusan kedua-dua pihak mencapai persetujuan yang lebih menyeluruh dan adil, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kedua-dua kerajaan komited melaksanakan perbincangan secara progresif bagi memastikan proses rundingan berjalan secara teratur dan berkesan.
Menurutnya, rundingan terbaharu telah diadakan pada 17 November 2025, termasuk penubuhan Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Turut dibincangkan ialah terma rujukan yang akan menjadi panduan sepanjang proses rundingan dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara, pada Isnin.
Amir Hamzah berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) komited merundingkan kadar pemberian khas yang lebih baik, termasuk usaha meningkatkan amaun pemberian khas kepada Sabah.
Menurut beliau, kerajaan menaikkan amaun pemberian khas Sabah kepada RM300 juta pada 2023, sebelum bersetuju meningkatkan hampir sekali ganda kepada RM600 juta bermula 2025.
“Pembayaran ini dibuat secara interim sementara kedua-dua pihak merumuskan kaedah baharu bagi menentukan pemberian khas pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan peruntukan mengurus dan pembangunan untuk Sabah terus meningkat daripada RM14 bilion pada 2023 kepada RM17 bilion pada 2026.
Katanya, peruntukan itu disalurkan bagi melaksanakan pembangunan strategik termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah, projek bekalan air dan elektrik luar bandar, jalan perhubungan desa serta penyediaan kemudahan ameniti sosial.















































Discussion about this post