SERAMAI 18 ahli Kelab Digital Warga Emas Kuching (Diwarmas) menyertai program lawatan ke Serian menggunakan perkhidmatan bas BAS.MY pada Sabtu bagi memberi pendedahan langsung mengenai kemudahan pengangkutan awam.
Peserta berkumpul di stesen bas berhadapan Electra House dan kawasan Open Air, Kuching sebelum memulakan perjalanan ke Serian. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan sistem mobiliti inklusif bagi semua lapisan masyarakat, khususnya warga emas.
BAS.MY adalah jenama perkhidmatan bas berhenti-henti di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) oleh kerajaan Persekutuan, yang diperkenalkan untuk meningkatkan kecekapan, keselesaan dan kebolehpercayaan perkhidmatan bas di luar Lembah Klang, termasuk Sarawak.
Menurut ahli Diwarmas, Harlisa Fazari, bas BAS.MY menawarkan kemudahan tambahan seperti port pengecas USB yang membolehkan penumpang mengecas peranti sepanjang perjalanan. Sementara itu, Zaiton Jemain menekankan tahap keselesaan yang tinggi, manakala Dayang Rubbie Abg Paul memuji reka bentuk bas yang mesra warga emas, OKU dan ibu mengandung.
Peserta turut memanfaatkan Kad Warga Emas BAS.MY yang memudahkan pembayaran tambang secara tanpa tunai, lebih cepat dan teratur. Laluan bas ke Serian juga melalui Pusat Jantung Samarahan, hospital, pusat kesihatan, institusi pendidikan dan kawasan komersial, sekali gus memudahkan akses ke fasiliti kesihatan dan sosial.
Program ini bukan sahaja memberi kemudahan pengangkutan, malah menyokong kesejahteraan warga emas melalui interaksi sosial, aktiviti luar rumah dan gaya hidup lebih aktif. Ia membuktikan inisiatif kerajaan melalui SBST dan BAS.MY mampu meningkatkan kualiti hidup warga emas, menjadikan tempoh persaraan lebih aktif, bermakna dan sejahtera.

















































Discussion about this post