UMAT Islam diingatkan supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk meluahkan atau membuka aib pasangan, sebaliknya menggunakan saluran yang betul bagi menyelesaikan masalah rumah tangga, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, ajaran Islam jelas menegah perbuatan mengaibkan sesama umat, apatah lagi melibatkan hubungan suami isteri yang bersifat peribadi dan rapat.
Menurutnya, tindakan mendedahkan masalah rumah tangga di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi tidak membantu menyelesaikan isu sebenar, malah boleh memburukkan keadaan.
“Islam mengajar kita supaya menutup aib orang lain kerana jika kita menutup aib saudara kita, Allah akan menutup aib kita pada hari kiamat.
“Perkara ini membabitkan saudara sendiri, lebih-lebih lagi suami atau isteri yang mempunyai hubungan yang sangat rapat,” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), hari ini.
Mohd Na’im mengulas kecenderungan sesetengah pasangan Islam yang kebelakangan ini menggunakan platform media sosial untuk menceritakan masalah rumah tangga, termasuk perkara bersifat intim, dengan tujuan mendapatkan nasihat daripada orang ramai.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan dakwah, khususnya menerusi media sosial, perlu dimanfaatkan untuk mendidik masyarakat agar tidak menggunakan platform berkenaan bagi mengaibkan pasangan masing-masing.
















































Discussion about this post