MAHKAMAH tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya dalam isu pelaksanaan Titah Adendum berkaitan tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun ia datang daripada institusi diraja.
Pakar Perlembagaan, Dr Zulqarnain Lukman memberi peringatan bahawa walaupun titah tersebut mempunyai nilai simbolik tinggi, ia tetap perlu melalui proses perundangan dan disahkan kesahihannya oleh institusi kehakiman.
Menurutnya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas memperincikan proses dan struktur kuasa pengampunan di samping sebarang adendum atau arahan tambahan mestilah selari dengan semangat serta peruntukan perlembagaan.
“Persoalan penting di sini, adakah titah yang dibuat di luar Mesyuarat Lembaga Pengampunan sah dan mengikat kerajaan untuk melaksanakannya?
“Pada masa ini, kita harus memberi ruang kepada pihak mahkamah,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau turut mempersoalkan keabsahan pelaksanaan tahanan rumah tanpa semakan menyeluruh terhadap kesesuaian undang-undang sedia ada.
“Mahkamah juga akan meneliti sama ada wujud peruntukan undang-undang sedia ada yang mencukupi bagi membolehkan kerajaan melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan kewujudan Titah Adendum daripada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghormati pandangan pelbagai pihak yang menggesa agar Titah Adendum tersebut dilaksanakan.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa perkara berkenaan kini berada dalam bidang kuasa mahkamah dan sebarang tindakan harus mengikut saluran perundangan yang sah.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memohon agar pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib dilaksanakan, selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan tersebut dibuat susulan pengesahan daripada Peguam Negara berhubung kewujudan Titah Adendum yang dikatakan telah dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda sebelum ini.
Sementara itu, perbahasan mengenai kesahihan dan implikasi pelaksanaan Titah Adendum terus menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang, pemimpin politik serta masyarakat sivil.
Bagi sesetengah pihak, adendum tersebut dilihat sebagai satu bentuk pengampunan diraja yang wajar dihormati dan dilaksanakan, manakala sebahagian lain berpendapat proses perundangan mesti diikuti secara tertib.

















































Discussion about this post