Dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025 sebentar tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan cadangan pembentukan satu kerangka politik Melayu-Islam berskala nasional, merangkumi isu kedudukan agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan generasi Melayu.
Menurut Zahid, mesyuarat nasional yang dicadangkan itu bertujuan merangka hala tuju baharu perjuangan Melayu-Islam dalam konteks politik semasa, dengan penekanan kepada langkah ke hadapan yang lebih tersusun dan strategik.
Bagi menerajui jawatankuasa mesyuarat nasional tersebut, Zahid mencadangkan pelantikan veteran UMNO, Tan Sri Abdul Ghani Othman sebagai pengerusi, dengan mandat meneliti semua aspek dasar Melayu yang disebutkan, khususnya dalam kerangka kebijakan dan kelangsungan kepimpinan bangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid turut mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Ummah, satu badan yang menurutnya telah diluluskan oleh kabinet. Majlis itu bakal menghimpunkan pelbagai pihak termasuk ulama, ahli akademik, pemikir strategik, pemimpin NGO, tokoh korporat, wakil kerajaan serta tokoh politik rentas parti bagi membincangkan isu-isu berkaitan umat Islam di Malaysia.
Zahid menjelaskan, Majlis Perundingan Ummah akan dibahagikan kepada 11 kluster utama dan akan dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat. Beliau menegaskan pelantikannya sebagai pengerusi tidak memerlukan kelulusan perwakilan kerana keputusan tersebut telah dimuktamadkan oleh kabinet.
Selain itu, Zahid turut mengumumkan usaha penjenamaan semula Barisan Nasional (BN), yang akan dibawa untuk diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN. Proses itu, katanya, akan melibatkan pemukiman atau retreat bersama parti-parti komponen BN serta “friends of BN”.
Menurut Zahid, penjenamaan semula itu bukan sekadar melibatkan logo atau imej luaran, sebaliknya menyentuh soal strategi, pendekatan dan penyusunan semula kekuatan BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam kenyataan yang paling mendapat perhatian perwakilan, Zahid mengemukakan usul pembentukan “Grand Collaboration” atau Kolaborasi Agung iaitu satu gabungan longgar yang bertujuan menyatukan parti-parti politik Melayu dan Islam di bawah satu payung kerjasama.
Beliau menegaskan bahawa kolaborasi itu tidak bertujuan menggugat kerajaan perpaduan sedia ada, sebaliknya berfungsi sebagai platform tidak rasmi untuk menyatukan roh perjuangan Melayu-Islam tanpa membubarkan mana-mana parti politik yang terlibat.
“Kita tidak mahu mana-mana parti mengorbankan identiti mereka. Kita mahu bergabung, bukan melebur,” katanya, sambil menekankan bahawa perbezaan warna politik perlu diketepikan demi agenda Islam dan Melayu yang lebih besar.
Zahid memberi jaminan bahawa inisiatif tersebut tidak membawa sebarang agenda “tebuk atap” atau percubaan menjatuhkan kerajaan, sebaliknya sebagai manifestasi keikhlasan UMNO untuk merangkul semua parti Melayu dan Islam dalam satu kerangka kerjasama nasional.
Usul tersebut kemudiannya dibawa kepada sidang perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2025 dan diluluskan dengan sokongan suara majoriti, sebelum Zahid menutup ucapannya dengan pembacaan puisi bertajuk ‘Rumah Bangsa’ iaitu simbolik kepada usaha penyatuan semula kekuatan Melayu di bawah satu bumbung perjuangan.


















































Discussion about this post