AHLI perniagaan Farhash Wafa Salvador menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan dirinya dengan kegiatan mencuri dan pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit seperti yang tular menerusi beberapa laporan portal berita dalam talian sejak April lalu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata laporan yang diterbitkan beberapa portal termasuk MalaysiaNow, Malaysiakini dan Harakah Daily pada 22 April, 23 April dan 5 Mei lalu merujuk kepada satu rakaman video yang didakwa mengandungi perbualan dua individu bernama Sofia Rini dan Albert Tei.
Menurut Farhash, laporan tersebut telah menyiarkan dakwaan serius kononnya beliau memindahkan wang haram ke luar negara termasuk ke Turki dan Afrika, selain mendakwa beliau kini merupakan warganegara Turki.
“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan mencemarkan reputasi serta integriti saya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dirinya bukan warganegara Turki, tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti pengubahan wang haram dan tidak mempunyai akaun bank di negara itu.
Farhash berkata beliau kini hanya menjalankan perniagaan dan tidak lagi terlibat dalam bidang politik, selain mempersoalkan motif pihak tertentu yang mengaitkan namanya dalam isu berkenaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman video tersebut dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Beliau juga berkata peguamnya telah diarahkan untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran dakwaan berunsur fitnah itu.
Pada masa sama, Farhash menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang belum disahkan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan telus.

















































Discussion about this post