SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan terhadap pemberi perkhidmatan berlesen bagi menangani pelbagai bentuk kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta penyediaan mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.
Akta itu terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Bagaimanapun, ONSA tidak terpakai kepada pengguna individu.
MCMC turut memaklumkan peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A AKM 1998 turut berkuat kuasa hari ini. Susulan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada dan diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.
Menurut MCMC, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang sewajarnya.
MCMC turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.














































Discussion about this post