DANA pembiayaan bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan dinaikkan daripada RM300 juta tahun ini kepada RM500 juta pada 2026.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata peningkatan itu bertujuan memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi merentas kaum.
Beliau berkata pembiayaan untuk usahawan India menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) turut dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta pada 2026, manakala satu skim baharu pembiayaan PMKS untuk masyarakat Cina berjumlah RM50 juta akan dilancarkan pada Januari 2026.
Sim berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pada hari pertama beliau menerajui kementerian itu, hari ini.
Selain itu, beliau berkata moratorium enam bulan tanpa faedah akan diberikan kepada PMKS dan koperasi yang terjejas akibat banjir, melibatkan pinjaman daripada tujuh agensi di bawah KUSKOP.
Agensi terbabit ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Terdahulu, Sim tiba di bangunan KUSKOP kira-kira jam 9.10 pagi dan disambut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Beliau berkata KUSKOP menerima mandat penting daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan pertumbuhan ekonomi rakyat melalui pemerkasaan PMKS dan gerakan koperasi.
Menurutnya, satu strategi berfokus akan digerakkan menerusi pendekatan ABCD bagi mengemudi pertumbuhan perniagaan negara.
“Ia merangkumi anjakan produktiviti, birokrasi dipermudah, capaian modal serta daya akses pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sim menegaskan pertukaran portfolio yang dialaminya tidak seharusnya dilihat sebagai penurunan pangkat, sebaliknya tumpuan kini adalah untuk terus memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi negara.

















































Discussion about this post