PERJANJIAN Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) tidak boleh diundur, namun perkara yang didapati tidak adil kepada negara akan diteliti dan dirunding semula, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari berkata, walaupun perjanjian yang telah ditandatangani tidak boleh dibatalkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengenal pasti klausa atau perkara tertentu yang boleh dibawa semula ke meja rundingan.
“Apa yang sudah ditandatangani, kita tak boleh undur. Tetapi bersama MITI, kita akan lihat perkara mana yang boleh diminta untuk dirunding semula, khususnya yang tidak adil kepada Malaysia.
“Perjanjian perdagangan bukan sesuatu yang bertitik noktah. Ia memerlukan rundingan berterusan dan apa yang tidak adil kepada kita, kita akan runding,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘clock in’ sebagai simbolik memulakan tugas rasmi di MITI, semalam.
Johari berkata, antara tumpuan awal beliau selepas dilantik menerajui MITI ialah menilai semula strategi perlindungan ekonomi negara susulan perubahan ketara landskap ekonomi global, termasuk langkah perlindungan dalaman yang semakin ketara dalam kalangan negara maju.
Beliau berkata, meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatat pertumbuhan dalam tempoh sedekad lalu, sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada ekonomi masih meningkat secara sederhana.
“Jika kita lihat, KDNK negara berkembang besar dari 2015 hingga 2024. Namun sumbangan PKS kepada KDNK hanya meningkat daripada 37 peratus kepada 39 peratus dalam tempoh 10 tahun, iaitu peningkatan sekitar dua peratus sahaja. Ini perkara yang perlu kita teliti,” katanya.
Johari menegaskan kehadiran beliau di MITI bukan untuk mencetuskan perubahan drastik atau ‘keajaiban’ dalam masa singkat, sebaliknya setiap langkah perlu dibuat berasaskan data dan statistik.
Menurutnya, strategi mempertahankan ekonomi negara juga perlu dilaksanakan secara berhemah tanpa perlu diumumkan secara terbuka, sebaliknya melalui dasar dan pelaksanaan yang berkesan.
“Kita tidak perlu memberitahu semua perkara yang kita lakukan. Yang penting ialah bagaimana kita mempertahankan ekonomi negara dalam keadaan semua negara maju cuba melindungi kepentingan masing-masing.
“Itulah pendekatannya dan saya mahu bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

















































Discussion about this post