SEORANG Ketua Cawangan PAS di Melaka berdepan waran tangkap selepas gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Siber Kuala Lumpur hari ini bagi sebutan kes di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Tertuduh, Azmi bin Aziz, yang menggunakan akaun Facebook “عزمي حاجعزيز (Azmi Haji Aziz)”, didakwa memuat naik kartun ubah suai berunsur penghinaan dan sindiran politik terhadap pihak tertentu, yang kemudian tular di media sosial.
Menurut sumber mahkamah, saman telah diserahkan kepada tertuduh pada 30 September 2025, namun beliau gagal hadir tanpa sebarang alasan pada prosiding pagi tadi.
Berikutan itu, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap dan menetapkan 6 November 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan, kandungan yang dimuat naik oleh tertuduh mengandungi elemen politik dan penghinaan, sekali gus membawa kepada siasatan di bawah Seksyen 233(1)(a) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan turut menarik perhatian kerana tertuduh dikenal pasti sebagai pemimpin peringkat akar umbi parti politik, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai disiplin dan kawalan komunikasi digital dalam kalangan ahli politik.
Sumber juga memaklumkan, penguatkuasaan terhadap kesalahan komunikasi siber kini semakin diperketatkan, termasuk terhadap individu berprofil politik, bagi memastikan undang-undang siber dipatuhi tanpa kompromi.













































Discussion about this post