KEMPEN Internet Selamat 2.0 akan diperluaskan ke seluruh negara mulai tahun depan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian menerusi penglibatan lebih menyeluruh ibu bapa dan komuniti setempat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kempen itu merupakan usaha bersepadu untuk membentuk masyarakat celik digital serta mewujudkan persekitaran internet yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan remaja.
Menurutnya, tanggungjawab memastikan keselamatan siber tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan atau agensi penguat kuasa, sebaliknya memerlukan komitmen bersama pelbagai pihak termasuk keluarga dan masyarakat.
“Kita perlu menyampaikan mesej yang sama, iaitu memastikan internet selamat. Ia bukan hanya tanggungjawab MCMC, kerajaan atau PDRM, tetapi ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk memastikan anak-anak selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi November dan Disember 2025, hari ini.
Fahmi turut memaklumkan, satu mega jerayawara Kempen Internet Selamat akan dilancarkan pada Februari depan sempena Sambutan Hari Internet Selamat (Safer Internet Day), yang disambut sekitar 11 Februari setiap tahun.
Menurutnya, jerayawara itu akan menjelajah ke seluruh negara dengan penglibatan kepimpinan kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) serta organisasi masyarakat sivil.
Usaha berkenaan, katanya, bertujuan memastikan mesej keselamatan internet difahami dan diamalkan hingga ke peringkat akar umbi, sekali gus membentuk ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Pada tahun ini, lebih 8,500 sekolah melibatkan hampir 400,000 pelajar di seluruh negara menyertai Kempen Internet Selamat 2025, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan siber dalam kalangan generasi muda.
















































Discussion about this post