PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha pemuliharaan Seri Negara oleh Khazanah Nasional Bhd sebagai lambang kedaulatan, jati diri serta roh kemerdekaan negara, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memelihara sejarah, seni bina dan warisan nasional.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sekadar kerja membaik pulih bangunan bersejarah, sebaliknya membawa makna lebih besar dalam mengembalikan maruah dan roh kemerdekaan negara daripada legasi penjajahan, selari dengan semangat Negara MADANI yang menekankan keterangkuman dan akses rakyat terhadap sejarah serta budaya tempatan.
“Pemuliharaan ini bukan hanya menyentuh rangka fizikal atau nilai seni bina, tetapi menyelongkar makna kemerdekaan, pengalaman sejarah dan harga yang telah dibayar oleh generasi terdahulu untuk sebuah negara merdeka,” katanya ketika merasmikan majlis penyempurnaan pemuliharaan Seri Negara, hari ini.
Hadir sama ke majlis itu ialah Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Anwar berkata, tapak berkenaan sebelum ini pernah menjadi simbol keunggulan kuasa penjajah British dan dilihat sebagai lambang elitisme yang terpisah daripada rakyat.
Menurut beliau, meskipun Malaysia mencapai kemerdekaan hasil pengorbanan besar generasi terdahulu, simbol kekuasaan penjajah itu masih kekal berdiri, sekali gus menimbulkan persoalan tentang makna sebenar kebebasan dan jati diri nasional.
Anwar turut mengimbas desakan pada awal 1980-an supaya kerajaan mengambil alih tapak berkenaan daripada pihak penjajah, yang kemudiannya dipersetujui oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum diiktiraf sebagai milik negara.
Bagaimanapun, katanya, kekurangan kesedaran terhadap kepentingan pengisian sejarah dan identiti nasional menyebabkan tapak itu pernah terbiar, termasuk akibat pengurusan berasaskan komersial yang menghakis makna warisan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menghargai peranan Khazanah dan rakan strategik yang menghidupkan semula Seri Negara melalui pengisian berteraskan sejarah perjuangan, seni dan budaya tempatan merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Pengisian ini penting untuk mendedahkan generasi muda bahawa kemerdekaan bukan sesuatu yang mudah dicapai, sebaliknya dibayar dengan pengorbanan dan keringat generasi terdahulu,” katanya.
Anwar berkata, pemuliharaan Seri Negara kali ini dilaksanakan secara lebih teliti dengan kepakaran khusus, selain memberi manfaat dan akses kepada seluruh lapisan rakyat.
Beliau turut menegaskan pembangunan dan kemampanan harus memberi manfaat kepada rakyat terbanyak, sambil menyifatkan pemuliharaan Seri Negara sebagai satu permulaan yang baik ke arah matlamat tersebut.
















































Discussion about this post