KEMENTERIAN Komunikasi berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi kemungkinan banjir besar pada awal tahun depan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, keutamaan kementerian adalah memastikan kelancaran komunikasi dan capaian rangkaian, selain memberi tumpuan kepada pemulihan segera kesalinghubungan di kawasan terjejas serta penyaluran bantuan kepada mangsa.
Menurut Fahmi, pengalaman banjir besar yang melanda beberapa daerah di Kelantan awal tahun ini menjadi pengajaran penting dalam memperkukuh persediaan, khususnya membabitkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan penyedia prasarana menara komunikasi.
“Semasa banjir besar awal tahun ini, banyak menara komunikasi terjejas teruk sehingga berlaku kerosakan pada jambatan dan kabel bawah tanah. Jadi, saya telah meminta supaya pasukan berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama, hari ini.
Fahmi berkata, hasil kerjasama rapat dengan syarikat telekomunikasi, tindakan pantas akan diambil bagi mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas sebaik sahaja bekalan elektrik dan sambungan gentian dipulihkan.
“Persediaan tahun ini lebih baik, termasuk kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi memastikan menara yang terkesan dapat dihidupkan semula dengan segera tertakluk kepada bekalan elektrik dan gentian.
“Selain itu, pusat pemindahan sementara akan dilengkapi perkhidmatan WiFi dan, jika perlu, kemudahan Starlink bagi memastikan komunikasi tidak terputus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kementerian dan agensi berkaitan telah melaksanakan langkah pengukuhan tapak (site hardening) di menara komunikasi, termasuk menaikkan struktur peti elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi mengelakkan kerosakan akibat kenaikan paras air.
Fahmi memberi contoh kerja pengukuhan yang dilakukan di Moyog, Sabah, yang sebelum ini mengalami kerosakan teruk akibat banjir apabila prasarana dan peti elektrik ditenggelami air.
Sementara itu, beliau berkata kementerian melalui agensi di bawahnya sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kebajikan, termasuk menerusi penubuhan Skuad Ehsan MADANI serta tabung bencana kementerian.
Beliau berkata, bagi kebajikan pengamal media, kementerian turut menyediakan Tabung Kasih @HAWANA yang disifatkan mencukupi dan bersedia membantu sekiranya wartawan atau ahli keluarga mereka terjejas akibat bencana.













































Discussion about this post