MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menggalakkan orang ramai memilih Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi perjalanan jarak jauh rentas negeri, susulan pengalaman peribadinya yang disifatkan lebih selesa, menjimatkan masa dan mengurangkan tekanan.
Azalina berkata, beliau baru-baru ini menggunakan perkhidmatan ETS dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan mendapati pengangkutan awam itu menawarkan perjalanan yang lebih mudah tanpa perlu berdepan kesesakan lalu lintas, selain mesra alam.
“Selesai urusan di kawasan, saya memilih untuk pulang ke Kuala Lumpur menaiki ETS dari Johor Bahru Sentral ke KL Sentral yang baru dilancarkan minggu lalu oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perjalanan jadi lebih mudah apabila memilih pengangkutan awam — lebih selesa, jimat masa, kurangkan stres, tidak perlu berdepan trafik sesak dan lebih mesra alam,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) atas bantuan yang diberikan sepanjang perjalanan tersebut.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor berkenan menyempurnakan Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen KTMB Kempas Baru, Johor Bahru, Khamis lalu.
Projek sepanjang 192 kilometer itu melibatkan pembinaan 11 stesen baharu, iaitu Segamat, Genuah, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Renggam, Layang-Layang, Pulai dan Kempas Baru.
Perkhidmatan ETS dengan kelajuan operasi sehingga 140 kilometer sejam membolehkan perjalanan dari Johor Bahru ke KL Sentral diselesaikan dalam kira-kira empat jam setengah, manakala perjalanan penuh hingga Padang Besar mengambil masa sekitar 10 jam.
Pembangunan landasan berkembar itu dijangka memberi impak positif kepada rakyat, termasuk membuka peluang pekerjaan tidak langsung dalam sektor perniagaan, logistik, makanan dan perkhidmatan sokongan di kawasan sekitar stesen baharu.












































Discussion about this post