PENYATUAN Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi di bawah ekosistem Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilihat sebagai reformasi menyeluruh bagi memperkukuh laluan prauniversiti, bukan sekadar penyusunan semula pentadbiran.
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan menyeragamkan standard akademik, menyelaras penilaian serta meningkatkan keberkesanan peralihan ke peringkat pengajian tinggi, selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026–2035.
Beliau berkata, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan pengambilalihan itu merupakan antara pembaharuan utama yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan keserasian sistem prauniversiti dengan keperluan universiti serta pembangunan modal insan berdaya saing dan memenuhi tuntutan pasaran global.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri menegaskan kepentingan mengintegrasikan STPM tahfiz di bawah KPT kerana program kendalian Bahagian Pendidikan Islam itu menggabungkan hafazan al-Quran dan subjek akademik, sekali gus melahirkan pelajar cemerlang akademik, berdisiplin serta berpotensi kepimpinan.
Katanya, penyatuan STPM, matrikulasi dan STPM tahfiz di bawah KPT akan membolehkan penambahbaikan kurikulum, penyelarasan penilaian yang lebih konsisten, kecekapan pentadbiran serta pengiktirafan setara bagi semua aliran prauniversiti, termasuk tahfiz.
Beliau menambah, langkah itu turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan meningkatkan daya saing pelajar di peringkat global, dengan syarat pelaksanaan dibuat secara terancang dan disokong semua pihak.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan cadangan memindahkan STPM dan matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke KPT masih di peringkat awal dan memerlukan proses panjang termasuk pindaan akta, sebagai sebahagian perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula 2026.















































Discussion about this post