KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan keputusan untuk memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM) bermula tahun hadapan sebagai usaha berterusan untuk mengurangkan beban tugas guru dan memberi tumpuan kepada pengajaran di bilik darjah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata keputusan itu dibuat selepas kementerian meneliti pelbagai intervensi dan menilai maklum balas daripada warga pendidik yang menganggap sistem tersebut menambah beban pentadbiran sehingga mengganggu fokus terhadap tugas utama mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran.
“Ini adalah susulan daripada apa yang kita dapati berkaitan dengan komitmen kita untuk terus mengurangkan beban guru. Kita telah melakukan banyak intervensi dan melihat kekurangan-kekurangan serta bagaimana beban tugas guru ini harus ditangani secara berterusan,” jelas Fadhlina pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan projek sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin, Bukit Mertajam.
Menurut beliau, pemansuhan SPLKPM bukan sahaja bertujuan memberi ruang kepada guru untuk memberi fokus penuh di dalam kelas, tetapi juga merupakan manifestasi kepercayaan pihak kementerian terhadap profesionalisme warga pendidik dalam memenuhi keperluan pembangunan profesional tanpa bergantung kepada sistem yang dibangunkan secara digital itu.
SPLKPM sebelum ini berfungsi sebagai portal sehenti untuk merekod dan memantau aktiviti latihan dalam perkhidmatan pegawai pendidikan, termasuk pendaftaran kursus, pencapaian mata kredit latihan dan perkembangan profesionalisme guru. Walau bagaimanapun, beberapa guru menyuarakan bahawa sistem itu lebih membebankan dan mengalih perhatian mereka daripada tugas pedagogi utama.
Langkah ini juga dilihat sebagai persediaan awal KPM menjelang pelaksanaan kurikulum baru dan pelan pembangunan pendidikan yang dijadual diperkenalkan pada masa hadapan, sekali gus memastikan guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap reformasi dan peningkatan kualiti pengajaran.
Reaksi awal di kalangan warga pendidik menunjukkan ramai menyambut baik keputusan ini, dengan sebahagian guru melahirkan rasa lega dan syukur kerana beban pentadbiran yang dianggap tidak perlu akan dikurangkan pada masa hadapan.













































Discussion about this post