KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan meneliti secara menyeluruh resolusi yang dikemukakan kerajaan Melaka berkaitan pengukuhan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar, termasuk cadangan pelaksanaan hukuman rotan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, resolusi tersebut yang dibentangkan kepada kementeriannya dalam satu konvensyen khas semalam akan dinilai dari aspek keberkesanan serta kesannya terhadap dasar pendidikan sedia ada.
“Kita akan meneliti semua resolusi ini dan mempertimbangkan sama ada ia memberi impak positif kepada keseluruhan polisi serta dasar yang sedang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Sebanyak 10 resolusi itu merupakan hasil rumusan Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Melaka bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti serta rakan strategik pendidikan negeri.
Antara cadangan utama termasuk pelaksanaan hukuman rotan sebagai kaedah mendidik dan mendisiplinkan pelajar, tertakluk kepada kebenaran ibu bapa, selain larangan penjualan produk vape dan tembakau dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan sekolah.
Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata, resolusi tersebut turut mencadangkan penarikan kelayakan bantuan pendidikan terhadap pelajar yang kerap ponteng sekolah dan mempunyai masalah disiplin tegar.
Selain itu, katanya, tindakan undang-undang boleh dipertimbangkan terhadap ibu bapa yang didapati membiarkan anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah tanpa alasan munasabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata KPM merancang memperkenalkan inisiatif prasekolah baharu yang memberi ruang lebih luas kepada penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam pembentukan sahsiah kanak-kanak.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan pandangan serta input komuniti dimanfaatkan secara menyeluruh dalam usaha memperkasa sistem pendidikan negara.














































Discussion about this post