PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menghubunginya tengah malam tadi bagi membincangkan perkembangan terkini konflik antara Kemboja dan Thailand, selain menyentuh hubungan dua hala serta isu-isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha meredakan ketegangan serantau, khususnya peranan Malaysia dalam menggalakkan penyelesaian secara aman melalui dialog dan mekanisme sedia ada.
Menurut beliau, Malaysia secara konsisten menggesa kedua-dua negara terbabit supaya bertenang dan kembali ke meja rundingan dengan memanfaatkan saluran dua hala serta kerangka kerjasama ASEAN.
“Sebagai sebuah negara jiran dan rakan dalam ASEAN, Malaysia bersedia untuk membantu usaha meredakan keadaan, melindungi keselamatan orang awam serta memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik yang menjadi asas kepada ASEAN,” katanya.
Anwar berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi semasa serta menyokong langkah-langkah penyaheskalasian yang konstruktif.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam perbincangan tersebut, Malaysia menyampaikan penghargaan terhadap keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN, khususnya dalam menyokong keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.
“Saya turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif AS dengan ASEAN serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia dalam memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025,” katanya.
Menurut Anwar, komitmen semua pihak terhadap dialog dan diplomasi adalah penting bagi memastikan sebarang konflik dapat ditangani secara berhemah tanpa menjejaskan keamanan serta kesejahteraan rakyat di rantau ini.














































Discussion about this post