SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan telefon baharu melibatkan “panggilan senyap” di mana tiada suara diperdengarkan ketika panggilan dijawab, tetapi digunakan untuk merakam metadata suara mangsa menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut MCMC, modus operandi panggilan senyap bermula apabila pengguna menerima panggilan daripada nombor tidak dikenal pasti, sama ada dari dalam atau luar negara, dan tiada sebarang suara di hujung talian ketika panggilan dijawab. Scammer akan cuba merakam suara mangsa jika mangsa bercakap seperti menyapa atau bertanya siapa pemanggilnya.
Rakaman suara tersebut kemudian diproses menggunakan AI untuk mencipta klon suara mangsa, yang boleh disalahgunakan untuk tujuan penipuan termasuk menyamar kepada ahli keluarga atau memintas sistem pengesahan suara institusi kewangan.
MCMC menegaskan bahawa panggilan senyap yang dijawab juga menandakan nombor telefon itu “aktif” dan berpotensi dimasukkan ke dalam senarai sasaran jualan kepada sindiket penipuan lain, sekali gus membuka peluang menerima panggilan atau mesej susulan yang lebih meyakinkan.
MCMC menasihatkan orang ramai tidak memberi sebarang respons suara apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, terutama apabila tiada suara dari pihak pemanggil. Orang ramai digalakkan menutup panggilan serta-merta dan tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi sebagai langkah pencegahan terhadap penipuan berasaskan AI.















































Discussion about this post