KERAJAAN Sarawak sedang meneliti cadangan untuk membantu golongan belia yang telah bekerja tetapi masih berhasrat melanjutkan pengajian tanpa perlu meninggalkan pekerjaan sedia ada.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkata cadangan itu merupakan antara input yang dikemukakan peserta Program Suara 2.0 hasil perbincangan bersama belia dari seluruh negeri.
“Antara cadangan yang diketengahkan ialah bagaimana kerajaan boleh membantu belia yang sudah bekerja tetapi masih ingin melanjutkan pelajaran tanpa menjejaskan sumber pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan mengenai cadangan tersebut telah diadakan dan ia akan dibawa kepada perhatian Yayasan Sarawak untuk pertimbangan serta tindakan lanjut.
Selain itu, Fazzrudin berkata golongan belia turut menyuarakan penghargaan terhadap inisiatif pendidikan percuma serta kemudahan pinjaman pendidikan yang diperkenalkan kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan Sarawak terus memberi penekanan kepada pengukuhan pendidikan teknikal menerusi institusi seperti CENTEX, yang bekerjasama rapat dengan industri bagi melahirkan tenaga kerja mahir.
“Pelatih yang mengikuti latihan di CENTEX memiliki peluang pekerjaan lebih luas kerana mereka dilatih mengikut keperluan sebenar industri, termasuk sektor ekonomi hijau dan teknologi baharu,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut sejajar dengan keperluan tenaga kerja bagi projek strategik negeri, antaranya loji janakuasa Miri CCGT, pembangunan SMD serta pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

















































Discussion about this post