PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan serta suasana politik negara kembali stabil sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus membuka ruang lebih kukuh untuk melaksanakan program pembangunan rakyat secara konsisten.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, suasana stabil selama tiga tahun kebelakangan ini perlu dimanfaatkan untuk merangka dasar lebih jelas demi memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkukuh.
“Beberapa tahun sebelum ini, keadaan politik negara agak terumbang-ambing. Sekarang tiga tahun kerajaan dan politik negara stabil, Alhamdulillah. Walaupun biasalah ada ahli politik yang mengusik, jangan runsing bab itu, saya pun tak runsing sangat.
“Hari-hari cakap ‘Anwar turun’, sekejap lagi saya turun… turun pentas,” selorohnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa prestasi ekonomi menunjukkan trajektori positif dengan pertumbuhan 3.2 peratus, kadar pengangguran tiga peratus, kemiskinan tegar 0.09 peratus serta pencapaian pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena Himpunan Bulanan kementerian itu pada Isnin.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; serta Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.
Anwar bagaimanapun mengakui bukan mudah mencapai kestabilan dan prestasi sedemikian dalam tempoh setahun pentadbiran, namun menegaskan rakyat boleh menilai sendiri pencapaian kerajaan MADANI setakat ini.
Menurutnya, masih terdapat segelintir pihak yang hanya mencari perkara negatif untuk menilai prestasi kerajaan, namun beliau yakin rekod pencapaian yang ada sudah cukup membuktikan hala tuju yang betul sedang dilaksanakan.
“Kenapa kita pilih KKR? Kerana keadaan sudah stabil, rancangan sudah ada dan prestasi alhamdulillah. Untuk mara dengan kelajuan lebih meyakinkan, agensi pelaksana yang paling kritikal tentunya KKR.
“Projek kecil masih penting, tetapi pelaksanaan projek besar dan infrastruktur negara bergantung kepada KKR. Sebab itu saya hadir hari ini bukan sekadar untuk menyatakan penghargaan, tetapi meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap KKR,” katanya.
















































Discussion about this post