JUARA Akademi Fantasia musim kedua, Zahid Baharuddin mengakui kerjanyanya sebagai seorang penyanyi kini semakin perlahan berbanding zaman kegemilangannya dahulu, namun tidak melihat perkara itu sebagai satu kekecewaan.
Memetik laporan Harian Metro, penyanyi berusia 44 tahun itu berkata, beliau sedar perjalanan seorang artis tidak akan sentiasa berada di puncak.
“Saya faham roda kehidupan artis ini, takkan selamanya indah. Jadi saya pun dah bersedia dengan benda ini. Bila dah tahu kita dah kurang, apa langkah seterusnya perlu dibuat,” katanya.
Bagi memastikan minatnya dalam bidang seni terus hidup, Zahid kini aktif membuat persembahan bersama sebuah band di sebuah kelab di ibu kota sebanyak dua kali seminggu.
“Sekurang-kurangnya dapatlah menyanyi. Kira taklah saya rasa ‘boring’ sangat tak buat apa-apa. Ia untuk menghilangkan ketagihan menyanyi,” katanya ketika ditemui pada acara amal Stars On Court Celebrity Pickleball Fun Match anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena, semalam.
Menurut Zahid, pengalaman menghiburkan pengunjung kelab memberi cabaran tersendiri kerana beliau perlu menyampaikan lagu-lagu permintaan penonton.
“Saya kena menyanyi lagu orang dan kadang-kadang penonton buat permintaan. Tapi dalam masa sama, saya suka juga beraksi dengan band,” jelasnya.
Selain itu, beliau masih menerima undangan untuk acara hiburan, termasuk persembahan anjuran Astro.
“Alhamdulillah, untuk tahun ini rezeki saya memang ada. Cuma saya tiada lagu baharu dan setiap kali bertemu peminat, ada yang bertanyakan produk terbaharu daripada saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahid turut berkongsi beliau sedang mempertimbangkan untuk menghasilkan single baharu dan bakal muncul dalam sebuah program realiti televisyen pada Oktober ini.

















































Discussion about this post