RANG Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bukan ancaman kepada Tanah Rizab Melayu dan tidak bertujuan merampas hak pemilik asal, sebaliknya digubal untuk melindungi rakyat bandar serta memulihkan peluang mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.
Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr. Alias Rameli, menegaskan bahawa pemilik asal tidak akan diketepikan dalam pelaksanaan projek di bawah RUU tersebut, malah mereka dijamin untuk kembali ke kediaman dengan taraf yang sama atau lebih baik selepas projek siap.
“Pampasan kepada pemilik juga dijamin setara atau lebih menguntungkan daripada unit asal, sama ada dari segi keluasan, kemudahan atau nilai. Berbeza dengan kaedah lama yang hanya menilai pampasan berdasarkan harga semasa, PSB membolehkan pemilik menikmati nilai masa hadapan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kedaulatan kerajaan negeri kekal terpelihara kerana PSB tidak menggantikan undang-undang sedia ada seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Kanun Tanah Negara.
“Sebaliknya, ia menjadi kerangka penyelarasan supaya projek pembangunan berjalan lebih tersusun, pantas dan jelas untuk semua pihak,” katanya lagi.
Menurutnya, pelaksanaan PSB merupakan jawapan kepada isu pembangunan bandar yang terbengkalai, flat lama yang rosak serta masalah komuniti bandar yang terperangkap dalam kitaran kemiskinan.
“PSB memberi peluang kepada keluarga untuk memiliki kediaman yang lebih selamat, lebih selesa dan lebih bermaruah,” tegas beliau.
Setakat ini, kerajaan telah menganjurkan 108 sesi libat urus dan penerangan bersama pihak berkepentingan. Malah, katanya, sesi lawatan tapak turut dibuka kepada ahli Parlimen pembangkang, namun tiada seorang pun yang hadir.
“Kerajaan tetap memilih jalan dialog dan keterbukaan walaupun ruang itu jarang disambut,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Dr. Alias menegaskan bahawa PSB bukan soal kuasa, sebaliknya soal kesejahteraan rakyat.
“Menolak PSB bermakna menolak peluang untuk hidup lebih baik, lebih selamat dan lebih bermaruah di tengah bandar yang terus membangun,” katanya.













































Discussion about this post