PAKAR kriminologi menyifatkan cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan rangka kerja standard berkaitan penyimpanan dan pemeliharaan data komunikasi sebagai langkah tepat dalam menghadapi ancaman jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum binti Abdul Hamid, akses segera kepada metadata komunikasi seperti rekod panggilan, alamat IP dan data lokasi amat penting untuk membantu siasatan kes jenayah serius.
“Dari sudut undang-undang, akses ini memastikan bukti diperoleh secara sah, disimpan dengan betul dan boleh diterima di mahkamah, selain mematuhi proses perundangan serta membolehkan tindakan siasatan segera sebelum data kritikal hilang. Dari perspektif kriminologi pula, akses pantas menyokong pengenalpastian suspek dengan cepat, memutuskan rangkaian jenayah dan melindungi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Haezreena menjelaskan, ketiadaan rangka kerja seragam ketika ini menyebabkan perbezaan pematuhan antara penyedia perkhidmatan, sekali gus berisiko menghapuskan bukti penting sebelum pihak berkuasa dapat mengaksesnya secara sah.
“Keadaan ini boleh menjejaskan pendakwaan dan melemahkan usaha membanteras jenayah, terutama jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan, kerana penjenayah cenderung memilih penyedia perkhidmatan yang mempunyai dasar penyimpanan singkat atau tiada langsung,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman antarabangsa menunjukkan keberkesanan rangka kerja penyimpanan data. Antara contoh yang dikemukakan termasuk Arahan Penyimpanan Data Kesatuan Eropah (2006/24/EC) yang sebelum ini mempercepatkan siasatan rentas sempadan serta Akta Pindaan Intersepsi Telekomunikasi dan Akses (Penyimpanan Data) 2015 di Australia yang mewajibkan penyimpanan metadata selama dua tahun.
Dr. Haezreena menegaskan, kebimbangan terhadap privasi adalah wajar, namun ia boleh diimbangi dengan kawalan ketat, termasuk akses yang memerlukan kebenaran pihak berkuasa, pengawasan kehakiman, tempoh simpanan terhad dan hanya melibatkan metadata, bukan kandungan komunikasi.
“Langkah ini harus dilaksanakan secara telus dengan mekanisme semakan bebas, laporan awam, dan perundingan bersama pihak berkepentingan termasuk masyarakat sivil serta pakar teknologi untuk mengelakkan salah faham dan membina kepercayaan awam,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyertai sesi rundingan awam yang dijalankan oleh MCMC bagi memberi pandangan, menangani kebimbangan dan menambah baik cadangan rangka kerja tersebut.













































Discussion about this post