KEMENTERIAN Komunikasi menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai keperluan membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata kementerian komited melaksanakan pelbagai inisiatif selaras dengan hasrat Seri Paduka Baginda untuk melahirkan generasi berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang.
“Budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bagi menyokong usaha tersebut, kementerian akan melaksanakan tiga langkah utama:
1 – Kempen Kesedaran Nasional Antibuli melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital;
2 – Tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej antibuli sampai kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu;
3 – Pengarusperdanaan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat.
Beliau berkata, kementerian turut memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami oleh kanak-kanak dan remaja, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda agar nilai hormat diamalkan sejak kecil
“Saya menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media, untuk bersama-sama berganding bahu membanteras gejala buli,” tambahnya.
Fahmi menjelaskan, komitmen ini selari dengan pelaksanaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang memberi kuasa lebih tegas kepada kerajaan dalam menangani isu buli.














































Discussion about this post