KEADILAN menyifatkan penganjuran himpunan “Turun Anwar” yang berlangsung aman di ibu kota sebagai bukti kematangan demokrasi dalam era pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli, himpunan tersebut memperlihatkan peralihan besar dalam pendekatan kerajaan terhadap hak berhimpun dan bersuara, berbanding zaman silam yang menyaksikan suara rakyat dibungkam serta tindakan keras dikenakan terhadap penentang.
“Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman tanpa gangguan dan tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, tetapi kekuatan sebenar sebuah demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan yang mengawal perhimpunan tanpa menggunakan kekerasan, senjata kawalan rusuhan atau pendekatan agresif.
“Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan mencerminkan kematangan institusi keselamatan negara, dan menjunjung peranan mereka sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi,” ujarnya.
Adam turut menegaskan bahawa cita-cita Madani bukan hanya menjamin hak sivil seperti kebebasan bersuara dan berhimpun, tetapi turut menyentuh isu asas kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, kemiskinan, pendidikan dan pekerjaan yang sedang giat ditangani oleh kerajaan.
Di peringkat antarabangsa, katanya, Malaysia kini kembali mendapat pengiktirafan sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini dunia pasca pandemik – hasil kepimpinan Perdana Menteri dan hala tuju dasar semasa.
Bagaimanapun, KEADILAN melihat pembangkang kini ketandusan hala tuju yang jelas dan lebih gemar mencipta ketidaktentuan serta menyerang peribadi pemimpin, berbanding menawarkan dasar alternatif yang lebih baik.
“Himpunan ini bukan ancaman, sebaliknya lambang perubahan budaya politik. Kita percaya perbezaan pendapat harus diraikan, dan dalam demokrasi, suara menyokong mahupun menentang – kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.”
Adam turut menggesa agar pembangkang turut memainkan peranan membina dengan mendidik penyokong menjadi lebih adil dan celik demokrasi, serta menunjukkan disiplin dan mutu hujah yang lebih baik di Parlimen.
“Inilah semangat Madani; ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh,” katanya.















































Discussion about this post