PENGUMUMAN lonjakan kadar dividen oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mampu mendorong pencarum meningkatkan jumlah simpanan bagi tempoh jangka panjang.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, peningkatan terbabit dilihat meningkatkan keyakinan pencarum ke atas KWSP sebagai badan pengurus simpanan para pekerja di Malaysia.
“Kita yakin pengumuman kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi simpanan konvensional dan syariah KWSP bagi 2024 juga akan menambah caruman atau simpanan secara sukarela dalam kalangan pencarum KWSP demi manfaat jangka panjang.
“Kadar dividen yang lebih tinggi itu merupakan satu khabar yang baik bagi para pencarum yang dianggarkan 15.9 juta orang,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Shafie berpandangan, KWSP yang menjadi nadi simpanan usia tua pesara telah menunaikan fungsinya dengan baik dan efektif berbanding platform simpanan lain dalam negara termasuk bank.
Katanya, pelbagai pihak perlu mengakui buat masa sekarang KWSP merupakan satu platform kebergantungan bagi para pencarum dalam mengharapkan pulangan yang lebih baik bagi mereka.
“Lantaran itu, UNI-MLC yakin dan percaya bahawa KWSP akan terus mempertingkatkan daya pelaburannya untuk menjana pulangan lebih baik demi manfaat dan kepentingan para pencarum.
“KWSP perlu terus mempelbagaikan platform menjana pendapatan dalam memberikan dividen lebih tinggi bagi tahun 2025 dan tahun-tahun seterusnya,” ujarnya.
Terdahulu, kadar dividen KWSP bagi 2024 lebih tinggi berbanding tahun 2023, dan paling tinggi sejak tahun 2017.
Pada tahun lalu, KWSP membayar dividen 5.5 peratus untuk simpanan konvensional, manakala 5.4 peratus untuk simpanan syariah, manakala dividen paling tinggi pernah diagihkan KWSP adalah 8.5 peratus iaitu iaitu dari 1983 hingga 1987.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, peningkatan itu disifatkan bukan sahaja menguntungkan pencarum dari segi pulangan simpanan, namun meningkatkan keyakinan terhadap strategi pelaburan dan pengurusan risiko yang diamalkan KWSP.
Beliau menjelaskan, pencapaian memberangsangkan kadar dividen 2024 adalah hasil daripada pengurusan berhemat dan strategi pelaburan bijak oleh pengurusan KWSP untuk memastikan kesejahteraan para pencarum.
“Peningkatan sehingga 6.30 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah oleh KWSP untuk tahun 2024 merupakan perkembangan yang amat positif dan memberangsangkan selain menunjukkan prestasi pelaburan institusi kewangan itu semakin kukuh serta memiliki pengurusan dana berkesan.
“Pada masa sama, ia juga mencerminkan pemulihan ekonomi domestik dan global yang berjaya dimanfaatkan oleh KWSP untuk beri dividen lebih tinggi kepada pencarum,” katanya.
Pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus yang diumumkan untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024 adalah yang tertinggi untuk tempoh selepas 2017.
Beliau berkata, antara faktor yang mendorong kadar dividen itu adalah pasaran ekuiti di Malaysia yang meningkat 12.7 peratus serta pasaran ekuiti seluruh dunia yang naik 17 peratus.














































Discussion about this post