Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin sedar bahawa barisan menteri dari Pakatan Harapan (PH) tidak mampu diharapkan untuk mengurus negara dengan berkesan.
Menteri dari DAP dan PAN sekadar mengisi kerusi tanpa menunjukkan prestasi yang membanggakan. Dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri, dua figura yang diharapkan untuk bersinar, Rafizi Ramli dan Fahmi Fadzil, ternyata gagal memberikan impak yang signifikan.
Rafizi, yang sebelum ini digembar-gemburkan sebagai teknokrat berbakat, semakin hilang dalam bayang-bayang kabinet, manakala Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi pula lebih banyak menghabiskan masa bermain propaganda daripada menyelesaikan isu komunikasi negara dengan berkesan. Hakikatnya, kedua-duanya tidak mampu membawa perubahan yang bermakna.
Sebaliknya, jika dinilai berdasarkan prestasi, hanya menteri dari UMNO yang menunjukkan kebolehan sebenar dalam pentadbiran kerajaan perpaduan ini.
Antara yang paling menonjol adalah Datuk Seri Johari Ghani, yang kini menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan penuh kompetensi. Johari bukan sekadar ahli politik berpengalaman tetapi juga seorang tokoh korporat yang memahami selok-belok ekonomi, menjadikan kementeriannya antara yang paling stabil dan berfungsi dengan baik di bawah pentadbiran Anwar.
Kenyataan ini membawa kepada satu realiti pahit yang harus diakui Anwar, Pakatan Harapan tidak mempunyai ramai pemimpin berkualiti untuk mentadbir negara. Ramai dalam kalangan mereka lahir dari gerakan jalanan, dengan latar belakang aktivisme yang kurang pengalaman dalam pentadbiran sebenar. Akibatnya, negara berdepan dengan menteri-menteri yang lebih banyak beretorik daripada bekerja.
Sebagai Perdana Menteri, Anwar memerlukan pasukan menteri yang berkebolehan untuk memacu Malaysia ke hadapan, bukan sekadar boneka politik yang hanya pandai berpolitik tetapi gagal dalam pentadbiran. Jika beliau mahu namanya dikenang sebagai pemimpin yang membawa perubahan, beliau tidak boleh lagi bergantung kepada menteri-menteri PH yang lesu dan tidak berprestasi.
Dalam keadaan ini, UMNO walaupun hanya sebahagian kecil dari kerajaan, muncul sebagai penyelamat yang boleh membantu memastikan pentadbiran negara berjalan lancar. Tidak mustahil, dalam jangka masa yang tidak panjang, Anwar perlu lebih banyak bergantung kepada UMNO bagi memastikan kejayaan pentadbiran beliau.
Zek Ameir adalah “Political Technologist” yang membawa konotasi manipulasi politik melalui media, propaganda dan data analitik untuk mencapai objektif tertentu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian 3SixtyNews.


















































Discussion about this post