PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara pemimpin dan individu yang konsisten dengan lantang menyatakan kekecewaannya terhadap kezaliman yang berlaku ke atas rakyat Palestin serta kegagalan masyarakat antarabangsa dalam mendesak menamatkan kekejaman rejim Israel.
Dalam satu temu bual dengan agensi berita di New Delhi sebelum ini, Anwar menyatakan kekecewaannya terhadap kegagalan sepenuhnya masyarakat antarabangsa dalam memainkan peranan untuk menghentikan konflik berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Anwar ketika mengadakan pertemuan degan beberapa pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, turut menyuarakan pandangan serta sokongan sepenuhnya untuk menghentikan kezaliman perang di Gaza dengan segala cara.
Malah, dalam perbincangannya dengan pemimpin Hamas, Anwar memberitahu mereka bahawa rakyat Palestin merupakan sahabat, serta mendukung keamanan dan penyelesaian damai terhadap konflik itu.
Hari ini, Malaysia menyambut baik gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan yang termetri.
Anwar berkata, Malaysia menyifatkan perkembangan terbaharu di Gaza ini sebagai tindakan yang sangat dialu-alukan.
Beliau menegaskan, ia merupakan langkah pertama yang penting untuk menamatkan konflik yang sudah berlarutan selama 15 bulan serta mengorbankan begitu banyak nyawa, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan Gaza.
“Gencatan senjata tersebut akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu, yang amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih ada di Gaza, terutamanya ketika musim sejuk yang sangat mencabar ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memuji Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar, Amerika Syarikat serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian gencatan ini.
“Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat,” katanya.
Anwar turut menegaskan, Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin dan melihat peluang bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu mencari penyelesaian kekal kepada salah satu konflik yang paling lama berlarutan di dunia.
“Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya, sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Timur Tengah,” katanya.














































Discussion about this post