IPOH: Lebih 70,000 wanita di Malaysia menerima suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV), sejak Februari tahun lalu yang bertujuan mencegah golongan itu dijangkiti kanser servik.
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Prof Madya Dr M Murallitharan, berkata jumlah itu dilihat memberangsangkan dan ia adalah hasil kerja keras warga NCSM bersama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Perak.
“Lebih 70,000 wanita itu diberi perlindungan melalui Program Imunisasi HPV “Leaving No One Behind” selepas majlis pelancaran peringkat kebangsaan yang diadakan pada Februari tahun lalu di Tambun.
“Sejak pelancarannya, NCSM menelusuri pelbagai kawasan pedalaman termasuklah di negeri Perak, Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan sempena Majlis Pelancaran NCSM-Caritas Homes of Hope dan Program Jelajah HPV negeri Perak.
Terdahulu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyempurnakan pelancaran berkenaan di Rumah Harapan NCSM-CARITAS di Kampung Simee, di sini, semalam.
Turut hadir isteri Menteri Besar, Datin Seri Aezer Zubir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah Kesihatan negeri Dr Feisul Idzwan Mustapha.
Mengulas mengenai Rumah Harapan, Murallitharan berkata ia beroperasi sejak awal tahun lalu dan berfungsi sebagai tempat transit kepada mana-mana pesakit kanser yang menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Tambah beliau, rumah berkenaan turut dilengkapi dengan perkhidmatan kaunseling dan klinikal psikologi serta perkhidmatan kaunseling makanan dan nutrisi secara percuma kepada mana-mana individu yang memerlukan.
“Kesemua perkhidmatan ini disediakan secara percuma dan dikendalikan oleh staf sepenuh masa untuk warga Perak amnya.
“Di kesempatan ini juga, kami memohon bantuan semua pihak tidak kira NGO, korporat mahupun individu untuk menyumbang dengan cara sendiri demi meringankan beban pesakit kanser di Rumah Harapan NCSM-CARITAS,” katanya.
















































Discussion about this post