Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengalu-alukan penggunaan bahasa tempatan seperti dialek daerah di kalangan penjawat terutama dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar dan program kerajaan.
Katanya, penggunaan bahasa dan dialek tempatan lebih mudah difahami masyarakat tempatan selain dapat mengelakkan sesuatu dasar yang disampaikan daripada disalah erti.
“Bila saya menjelajah atau mengadakan pertemuan dengan Komuniti MADANI di lapangan, saya dapati mungkin sesuatu perkara ini boleh disesuaikan cara penyampaian mesejnya kepada komuniti terbabit.
“Malaysia sebuah negara yang majmuk, yang kaya dengan kepelbagaian dan pelbagai suku kaum, bahasa dan dialek, maka kita kena pastikan mesej itu bukan hanya menggunakan bahasa rasmi tapi dapat disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami di peringkat akar umbi.
“Seperti Pulau Bum Bum di Semporna, (Sabah) mungkin ada beberapa perkara itu sesuai dengan komuniti di situ dan perlu dipastikan ia diterjemah dan disampaikan dalam bentuk yang mudah dicerap, difahami oleh penduduk setempat,” katanya memetik Bernama.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Jun 2024 di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, semasa berucap, Fahmi berkata, maklum balas diterima beliau daripada Komuniti MADANI menyatakan penyampaian sesuatu maklumat atau dasar kerajaan banyak menggunakan bahasa terlalu formal.
“Kadangkala, teguran yang saya terima daripada rakan dalam Komuniti MADANI, sering kali komunikasi kita dalam ‘bahasa Putrajaya’, kita menggunakan ayat yang penuh dengan nahu yang betul, koma dan titik di tempatnya.
“Tapi realitinya menunjukkan kita perlu merakyatkan penyampaian komunikasi,” katanya.
Fahmi pada masa sama mahu warga kerja Kementerian Komunikasi membantu rakan daripada kementerian lain untuk memastikan mesej yang ingin mereka sampaikan, terutama membabitkan dasar dan program sampai kepada kumpulan sasar.
“Saya lihat kita perlu bantu kawan-kawan kita dalam kalangan setiausaha akhbar dan ketua unit komunikasi korporat, kejayaan mereka adalah kejayaan kita. Sekiranya mereka belum berjaya untuk berkomunikasi, menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasaran dengan baik, itu juga cabaran bagi kita.
“Kita tidak boleh pandang sambil lewa atau tidak ambil berat sebarang aspek komunikasi dalam kalangan mereka daripada kementerian lain, sekiranya kita dapati ada perkara yang boleh kita bantu, maka kita terus panjangkan bantuan itu,” katanya.















































Discussion about this post