Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke pasar basah bagi meninjau kenaikan harga barang yang semakin menghimpit masyarakat.
Katanya, tindakan Perdana Menteri itu penting bagi melihat sendiri kenaikan harga yang berlaku jika rasionalisasi subsidi diesel diteruskan kerajaan.
“Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, balik Tokyo pergi tinjau Pasar Raja Bot. Lihat sendiri kenaikan harga barang seperti yang dilaporkan Harian Metro. Harga cili padi naik ke RM28/kg berbanding RM18 sebelum ini.
“Harga sawi naik ke RM11 berbanding RM7 sebelum ini dan harga kangkung naik ke RM10 berbanding RM8 sebelum ini. Itu baru harga sayur, belum lagi harga barangan keperluan rakyat yang lain,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah dalam masa yang sama turut berkata, tindakan Anwar itu juga turut tidak mengambil kira bebanan yang dihadapi rakyat dimana pemotongan subsidi minyak akan memberikan kesan keseluruhan kepada rantaian ekonomi.
“Yang pastinya akan melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat, ketika harga barang sudah pun melambung tinggi.
“Betul, pemotongan subsidi diesel ini melibatkan sekelompok sosio masyarakat dan dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun.
“Tapi, ini juga bermakna akan ada sekumpulan besar rakyat perlu membayar RM4 bilion itu dari ‘kais pagi, makan pagi’ mereka. Siapa yang akan tanggung kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya,” katanya.
Kerajaan sebelum ini jelas Anwar, bersetuju menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel dengan pelaksanaannya tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.
Pengecualian itu diberi kerana kebanyakan keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka.
Langkah itu bakal memberi penjimatan RM4 billion setahun yang akan digunakan untuk faedah rakyat.
















































Discussion about this post