Lawatan kerja barisan kepimpinan negara yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kyrgyz akan melonjakkan kerjasama dagang antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dalam pertemuannya bersama Menteri Ekonomi dan Perdagangan Republik Kyrgyz Amangeldiev Daniyar Joldoshevich telah membincangkan pelbagai aspek perdagangan dua hala.
“Dalam perjumpaan yang berlangsung lebih sejam, Amangeldiev antara lain menjemput pelabur-pelabur Malaysia untuk mempertimbangkan pelaburan dalam bidang automotif, tenaga dan pelancongan.
“Selain memperincikan kepada rakan sejawat saya kelebihan bekerjasama dengan Malaysia dan kekuatan perdagangan kita, saya turut menjemput beliau menghantar rombongan ke Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Dubai sebagai permulaan kerjasama dalam industri halal.
“Kedua-dua Perdana Menteri turut membincangkan pelbagai isu antarabangsa dan berkongsi pengalaman dalam menghadapi cabaran global,” katanya.
Tambah Zafrul, mesyuarat antara delegasi Malaysia dan ketua negara tuan rumah adalah antara agenda paling penting kerana dalam mesyuarat tersebut kedua-dua pihak menyuarakan hasrat dan cadangan masng-masing dan membuat keputusan bagi tujuan kerjasama berkenaan.
Dalam Mesyuarat Delegasi antara Anwar dengan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Japarov yang turut dihadiri beliau sebagai Menteri MITI, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar, Sadyr Japarov telah mencadangkan beberapa perkara yang berkaitan.
Antaranya, dianjurkan majlis dialog antara rantau Asia Tengah dan ASEAN, peningkatan perdagangan dan kerjasama industri halal antara kedua negara, kerjasama dalam usaha pemuliharaan iklim dan ekonomi digital dan juga peningkatan perdagangan kedua negara.
“Insya-Allah perkara-perkara yang dibangkitkan akan dikaji dan dinilai untuk memberikan hasil yang terbaik demi negara dan rakyat,” tambahnya.

















































Discussion about this post