Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam tindakan platform media sosial, Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan laporan berita berkaitan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di platform media sosial milik mereka.
Katanya, tindakan tersebut melanggar hak kebebasan media di negara ini, sekali gus Fahmi sebagai Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu akan menuntut penjelasan berhubung perkara itu.
“Dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan sayap politik Hamas baru-baru ini, terdapat tiga (organisasi) media maklumkan kepada pejabat saya bahawa posting mereka khususnya dalam Meta diturunkan.
“Saya kecam tindakan Meta menurunkan artikel atau posting daripada media apatah lagi kerana ini adalah pelaporan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan atau ketenteraan,” katanya hari ini.
Fahmi berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.
Fahmi menjelaskan, terdapat beberapa laporan media tentang pertemuan Anwar dan Ismail diturunkan di media sosial.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut memaklumkan yang Mesyuarat Kabinet mungkin akan membincangkan mengenai kenyataan Perdana Menteri tentang tahanan rumah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini, dilaporkan perkara itu akan dipertimbangkan selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.
Fahmi berkata, perbincangan itu akan dibawa setelah Anwar pulang dari lawatan rasmi ke Qatar.
“Tak dibincangkan (kenyataan Anwar mengenai tahanah rumah Najib) mungkin bila PM balik dan kembali ke tanahair minggu depan (akan dibincangkan).
“Tapi saya percaya yang dimaksudkan ialah mengikut proses, itu yang beliau (Anwar) sebut,” katanya.
















































Discussion about this post