Perdana Menteri memberi jaminan yang kenaikan gaji penjawat awam seperti diumumkannya semalam akan diluluskan di Parlimen.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi sokongan penuh terhadap kenaikan terbabit supaya ia dapat dilaksanakan pada 1 Disember depan.
Kenaikan itu akan dibentangkan di Parlimen pada pembentangan Belanjawan 2025 Oktober nanti.
“Penjawat awam umumnya sambut dengan baik tetapi kita tak boleh halang beberapa kenyataan yang hambar, ada kata ini pengumuman Anwar untuk laksana 1 Disember, mana tahu kalau Parlimen tak luluskan.
“Saya nak tahu siapa, Ahli Parlimen mana yang nak bantah kenaikan ini, kalau betul dia bantah, kita humban dia dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengarahkan supaya Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) melaksanakan tugasan berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, meskipun rang undang-undang (RUU) berkaitan penubuhan agensi itu hanya akan dibentangkan di Parlimen pada Julai ini, semua jabatan berkaitan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia sudah boleh meletakkan pegawainya dan bertugas dengan segera.
“Undang-undang (penubuhan MCBA) hanya akan dibentangkan pada Julai, tetapi pada 1 Mei (semalam) adalah bermula punca kuasa pada perkara berkenaan, bermakna dari polis, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Imigresen sebagai punca kuasa.
“Oleh demikian semua jabatan dan kementerian harus menerima arahan ini, meletakkan pegawai di sempadan utama sekarang dan melaksanakan tugas dengan Ketua Pengarah (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali yang mempunyai tugas besar untuk jaga seluruh sempadan kita,” ujarnya.















































Discussion about this post