Seramai 1,500 pekerja berarak ke Dataran Merdeka bagi menuntut hak pekerja sempena Hari Pekerja.
Perhimpunan yang disokong 60 entiti itu disertai pekerja pelbagai sektor, berarak dari Menara Maybank mengambil masa kira-kira 30 minit.
Antara yang turut menyokong perhimpunan itu adalah Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC), Pertubuhan Pertolongan Wanita, Borneo Komrad dan banyak lagi.
Antara tuntutan mereka adalah pelaksanaan gaji ‘kos sara hidup’ sebanyak RM2,000 dan bukannya gaji minimum serta memansuhkan sistem kerja kontrak.
Selain itu, mereka turut menuntut hak penjagaan kesihatan kepada semua kakitangan hospital kerajaan, menghentikan pengusiran paksa tanpa menyediakan sebarang alternatif dan memberi hak sama rata dan menghentikan eksploitasi terhadap pekerja asing.
Antara lain juga, mereka turut menuntut kawalan harga runcit, memansuhkan undang-undang yang melanggar hak asasi seperti diskriminasi jantina, menghentikan penswastaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, pengangkutan awam dan pendidikan serta mengiktiraf tanah adat Orang Asli.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini turut mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Beliau berkata kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
“Kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus. Kenaikan terbaik dalam sejarah oleh Kerajaan MADANI,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di Putrajaya, hari ini.














































Discussion about this post