Rumah ibu bapa kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ditaburi nota ugutan, awal pagi tadi.
Kejadian itu berlaku di Jalan Ling Sing Hang dekat Ayer Tawar.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner, Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu Kor Ming yang berusia 76 berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi.
Katanya, kertas di hadapan rumah pengadu dengan tertera tulisan ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam.’
“Pengadu menyatakan dia melihat banyak kertas dengan tulisan terbabit semasa keluar dari rumah pada jam 7.30 pagi.
“Pengadu percaya perkataan itu mempunyai niat yang tidak baik. Sehubungan dengan itu, usaha mengesan suspek kini giat dilakukan. Punca kejadian belum diketahui.” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamed Nordin turut berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama dan jika disabitkan kesalahan, hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fariq Nazmi Mohd Mustafa di talian 013-3317099 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Kor Ming berasa kesal dan meluahkan kerisauan terhadap kejadian terbabit.
“Kira-kira jam 9.30 pagi saya keluar untuk menyapu kertas terbabit, baru saya sedar ada tulisan berwarna merah bertulis “Nga Kor Ming jangan cabar Islam”.
“Ada kira-kira 40 helai kertas dan semuanya tertera nota yang sama. Oleh sebab berasa risau dan takut jika berlaku perkara tak diingini, saya dan suami membuat laporan di Balai Polis Ayer Tawar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, beliau dan suaminya yang berusia 86 tahun mahu kehidupan yang tenteram seperti orang lain dan berharap tidak dijadikan sasaran politik kebencian.
“Kami hidup secara ‘low profile’, kejadian seumpama ini turut pernah berlaku beberapa tahun lalu.
“Politik adalah politik, tolonglah jangan gunakan cara begini untuk ugut orang tua,” katanya.

















































Discussion about this post