Kadar obesiti dalam kalangan penduduk Putrajaya melebihi kadar obesiti daripada catatan nasional, termasuklah kurangnya melakukan aktiviti fizikal serta paras kolestrol yang tinggi dalam darah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya juga turut mencatatkan kadar kemurungan dan kebimbangan (anxiety) yang tertinggi dalam kalangan penduduknya, selain di Kuala Lumpur, lapor Bernama.
“Hal ini sebenarnya agak membimbangkan dan perlu ada intervensi daripada semua pihak termasuk peranan proaktif yang perlu dimainkan badan sukan yang kita ada ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Madani kepada Badan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi 2024 di Putrajaya, semalam.
Zaliha turut menyarankan agar badan sukan menganjur dan menyokong program sukan yang dapat meningkatkan gaya hidup aktif dan penyakit tidak berjangkit bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Pihak kami akan cuba sedaya upaya menyediakan ruang dan fasiliti yang terbaik untuk pembangunan aspek sukan khususnya dalam usaha untuk mewujudkan bandar sihat,” katanya.
Terdahulu Dr Zaliha menyampaikan bantuan berkenaan kepada 86 badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berjumlah RM282,000.
Dia berkata bantuan tersebut bagi kegunaan pentadbiran badan yang berdaftar dan bergiat aktif di Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
















































Discussion about this post