Projek perintis hari ini dilancarkan berkaitan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘eTesting’ , bagi membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dalam kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, prestasi setiap calon dikira menggunakan alat pengesan dan kamera serta keputusan dijana secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian.
“Bagi penggunaan sistem terbabit, institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon memilih menggunakan pengujian secara eTesting akan menerima beberapa manfaat antaranya boleh menjalani percubaan kali kedua bagi elemen ujian yang gagal pada hari sama tanpa kos tambahan.
“Calon ujian juga akan diberikan keutamaan dalam senarai tempahan ujian selain mendapat rebat RM10 bagi pengeluaran lesen percubaan.
“Bagaimanapun, buat permulaan calon diberi pilihan untuk menjalani ujian manual atau eTesting,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja pelaksanaan inisiatif eTesting di Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat di sini, hari ini.
Tambah Anthony, projek perintis itu dimulakan di tiga institut memandu di IM Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi, Pulau Pinang.
Langkah ini jelasnya lagi, pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada iaitu kira-kira 150 calon pada satu hari.
“Kita mengalakkan semua institut memandu untuk menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting. Tempoh masa selama enam tahun akan diberikan kepada institut memandu bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting.
“Institut memandu boleh memilih penyedia perkhidmatan eTesting yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penilaian Projek eTesting iaitu Syarikat Uji Bestari Sdn Bhd; Syarikat TBS Solutions Sdn Bhd dan KOPIMA Technology Sdn Bhd,” katanya.















































Discussion about this post