Kertas cadangan berhubung Tabung Wakaf Mara Madani akan dibentangkan pada April ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengambil kira beberapa cadangan, khusus kepada aspek tata kelola dan tadbir urus.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara cadangan tersebut adalah laporan kewangan mestilah bersifat telus dan setiap aktiviti yang dijalankan perlu dilaporkan secara berkala kepada Lembaga Pemegang Amanah, malah perlu dipamerkan dalam media sosial.
Tegasnya, tindakan itu perlu kerana rakyat berhak tahu ke mana wang wakaf itu dimanfaatkan.
“Paling penting, kita kena faham wakaf sedekah ini tidak hilang nilai pokok dan pahalanya berkekalan sehingga kiamat. Paling utama adalah sudah tiba masanya kita mengikut model negara seperti Turki yang mana institusi pendidikannya ditanggung dan dibiayai wakaf.
“Mara pula adalah institusi terbaik menjadi sekretariat Pusat untuk uruskan wakaf ini kerana ada ekosistem yang lengkap untuk membantu bumiputera.
“Kita ada 344 universiti pendidikan di bawah Mara sahaja dan setiap tahun kita bantu lebih 250,000 anak muda dalam pelbagai bidang termasuk bidang kemahiran,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) mengumumkan, kerajaan bakal mewujudkan Tabung Wakaf Mara Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun dengan diterajui oleh Mara.
Usaha itu antara tujuh inisiatif baharu bagi memperkasa ekonomi bumiputera dan dijangka memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat bumiputera.
Inisiatif lain juga adalah meluluskan dana permulaan RM1 bilion bagi melahirkan usahawan baharu dalam kalangan bumiputera.
















































Discussion about this post