Sebanyak 224 nombor telefon yang disyaki terlibat dalam penipuan telah disekat sejak Januari lalu.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berkata, usaha itu dibuat oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSCR) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerjasama syarikat telekomunikasi.
“Nombor-nombor ini juga direkod dalam sistem ‘Semak Mule’ polis sebagai rujukan awam sebelum sebarang transaksi diteruskan,” katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen hari ini.
Tambah M Kulasegaran, jumlah itu lebih tinggi berbanding 155 tindakan yang diambil SKMM antara Oktober 2022 hingga Ogos tahun lalu.
Dalam tempoh sama juga, tiada tindakan diambil terhadap 1,577 laporan penipuan menerusi telefon atas pelbagai sebab, termasuk kekurangan bukti berlakunya penipuan.
Kulasegaran berkata lagi, terdapat 107,716 penipuan menerusi telefon yang dilaporkan antara 2020 hingga 2023, dengan anggaran kerugian RM3.2 bilion.
NSRC adalah pusat sehenti untuk penipuan kewangan dan ditubuhkan pada Oktober 2022 untuk menyelaraskan tindakan oleh polis, Bank Negara Malaysia, SKMM dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, serta disokong oleh institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.
“Sebaik sahaja laporan diterima, NSRC dapat mengesan wang mangsa. Jika wang mereka masih dalam sistem bank, tindakan akan diambil untuk membekukannya.
“Ini akan membolehkan wang dikembalikan kepada mangsa,” katanya lagi.















































Discussion about this post