Nombor Pendaftaran Kenderaan Siri FF yang dibuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bermula 14 Mei sehingga 19 Mei 2023 telah berjaya merekodkan pembidaan dan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM34,296,327.
Hasil siri FF ini juga merupakan kutipan yang paling tinggi sejak bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara dalam talian melalui Sistem JPJeBid ditawarkan kepada orang awam sejak 15 April 2019.
Menteri Pengangkutan Malaysia Loke Siew Fook dalam satu kenyataan memaklumkan, pembidaan nombor plat melalui aplikasi JPJeBid secara atas talian adalah suatu manifesti jelas terhadap usaha JPJ untuk menyediakan perkhidmatan secara digital kepada seluruh rakyat selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.
“Berdasarkan kepada rekod bidaan, FF8 merupakan Nombor Pendaftaran Kenderaan yang telah dibida dengan harga paling tinggi, iaitu RM950,000. Manakala FF9 berada ditempat kedua tertinggi dengan harga RM911,999. Selanjutnya, FF3 dengan nilai RM639,000, FF2 dengan nilai RM638,000 dan FF7 dengan nilai RM633,000.
“Siri FF ini juga telah menunjukkan sambutan yang luar biasa daripada pembida-pembida. Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah seramai 34,032 orang dan sebanyak 8,348 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
“Jumlah penglibatan pembida dan pemenang bagi siri FF ini juga merekodkan penyertaan tertinggi sejak aplikasi atas talian JPJeBid dilancarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi siri nombor pendaftaran tersebut, lima nombor yang mendapat minat yang paling tinggi adalah FF199 dengan seramai 34 orang pembida, FF51 seramai 32 pembida dan seterusnya FF155, FF555 dan FF1688 dengan masing-masing sebanyak 29 orang pembida.
Sementara itu Loke dalam kenyataan sama berkata, jabatan tersebut akan terus berusaha untuk memperluaskan dan memantapkan perkhidmatan digital untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Orang awam yang belum memiliki akaun JPJeID boleh melakukan pendaftaran akaun pengguna melalui perkhidmatan digital di Portal Awam MySIKAP JPJ dan Aplikasi MyJPJ.
















































Discussion about this post